KEWAJIPAN BERPUASA
Firman Allah dalam Surah al-Baqarah ayat 183 dan 185 yang bermaksud:
“Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana yang
diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertakwa.”
“Masa yang diwajibkan berpuasa itu ialah bulan Ramadhan yang padanya diturunkan
al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi
keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk, dan (menjelaskan) perbezaan
antara yang benar dengan yang salah. Oleh itu sesiapa dari antara kamu yang
menyaksikan anak bulan Ramadhan (atau mengetahuinya), maka hendaklah ia
berpuasa bulan itu..”.
Sesungguhnya bulan Ramadhan bulan yang setiap tahun dinantikan ketibaannya oleh
setiap umat Islam, memandangkan ia bulan yang mulia dan memberikan terlalu
banyak manfaat, faedah, fadhilat dan masa depan yang cerah bagi mereka yang
menghayatinya.
FADHILAT DAN KEUTAMAAN RAMADHAN
Terdapat puluhan hadis Rasulullah s.a.w. yang menjelaskan tentang fadhilat dan
keutamaan bulan Ramadhan, bukan sahaja untuk manfaat umat Islam di akhirat
kelak bahkan faedah di dunia ini.
Walau bagaimanapun faedah dan
manfaat itu hanya diberikan kepada umat Islam yang taat menjunjung segala
perintah Allah dan menjauhi laranganNya. Mereka yang ingkar, tidak berpuasa,
tidak mengerjakan solat dan lain-lain perintah Allah, tidaklah berhak
mendapatnya.
Di bawah ini diringkaskan beberapa maksud hadis Rasulullah s.a.w mengenai
fadhilat, kelebihan, keutamaan dan kemuliaan bulan Ramadhan serta amal ibadah
yang sewajarnya dilakukan.
· Pintu langit dibuka
Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud:
“Apabila masuk bulan Ramadhan maka dibukakanlah pintu-pintu langit dan
ditutupkan pintu-pintu neraka dan diikatlah semua syaitan.”
(Riwayat Bukhari dan Muslim)
· Pintu-pintu syurga dibuka
Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud:
“Pada malam pertama bulan Ramadhan diikatlah semua syaitan dan jin dan
ditutuplah semua pintu-pintu neraka dan tidak dibuka satu pintu pun darinya.
Dan dibukakanlah pintu-pintu syurga dan tidaklah ditutup satu pun darinya. Maka
berserulah penyeru; Wahai orang yang melakukan kebaikan hampirlah kamu, wahai
orang yang melakukankejahatan undurlah kamu. Dan sesungguhnya Allah mempunyai
ahli neraka yang dibebaskan dan sedemikian itu berlaku pada setiap malam
Ramadhan.”
(Riwayat At-Tirmizi dan Ibnu Majah dari Abu Hurairah r.a.)
· Amal ibadah bulan Ramadhan
Dalam khutbah terakhir bulan Syaaban
untuk persediaan menghadapi bulan Ramadhan, Rasulullah s.a.w. telah memberi
nasihat kepada umat Islam supaya menyempurnakan berbagai amal ibadah sepanjang
bulan Ramadhan:
1. Solat sunat tarawih.
2. Solat-solat sunat yang lain.
3. Bantu membantu sesama umat Islam
seperti bersedekah dan seumpamanya.
4. Memberikan hidangan berbuka puasa.
5. Banyakkan membaca tahlil
(syahadah, berzikir, bertasbih dan seumpamanya).
6. Banyakkan beristighfar dan
bertaubat, memohon keampunan kepada Allah s.w.t.
7. Banyakkan berdoa memohon syurga
dan perlindungan dari azab neraka.
8. Banyakkan bersabar, kerana pada
bulan Ramadhan adalah bulan kesabaran.
9. Tinggalkan dan jauhi dari segala
perbuatan maksiat dan kemungkaran, kerana ia boleh menghapuskan ganjaran pahala
ibadah kita. Ini termasuk jangan mengumpat, berkelahi, boros, fitnah-memfitnah,
berbohong dan sebagainya.
· Ganjaran pahala ibadah dan fadhilatnya
Ganjaran pahala mereka yang mengerjakan amal ibadah dalam bulan Ramadhan
adalah berlipat-ganda. Ibadah fardhu diberi pahala sehingga tujuh puluh kali
ganda; manakala ibadah sunat diberi pahala seperti ibadah fardhu. Pada
keseluruhannya, bulan Ramadhan ini terbahagi kepada tiga bahagian:
1. Untuk mendapat rahmat Allah s.w.t yang mencurah-curah.
2. Untuk mendapat keampunan Allah
s.w.t.
3. Untuk mendapat pelepasan dari
azab neraka.
FADHILAT YANG LAIN-LAIN
· Mereka yang berpuasa akan mendapat balasan syurga.
· Doa orang yang berpuasa dimakbulkan Allah s.w.t.
· Orang yang berpuasa mendapat dua kegembiraan iaitu semasa berbuka puasa dan
apabila bertemu dengan Allah pada Hari Kiamat kelak.
· Orang yang berpuasa disertai menjauhi segala larangan semasa berpuasa, dan
mengerjakan ibadah sunat seperti bertahlil, bertasbih dan seumpamanya, akan
dibinakan mahligai yang indah di syurga.
· Setiap kali sujud orang yang berpuasa Ramadhan dikurniakan seribu tujuh ratus
kebajikan, dibinakan mahligai di syurga dan tujuh puluh ribu malaikat memohon
keampunan baginya dari pagi hingga petang.
Demikian sebahagian dari berbagai
fadhilat dan kelebihan orang yang berpuasa Ramadhan.
SOLAT SUNAT TARAWIH
Ibadat yang paling besar pahalanya ialah menghayati setiap malamnya dengan
solat sunat Tarawih. Menurut sebah hadis Rasulullah s.a.w. yang panjang lebar,
terdapat berbagai fadhilat dan faedah termasuk diampuni dosa-dosa dirinya dan
kedua ibu bapanya, diberi pahala seumpama pahala tawaf para malaikat di Baitul
Ma’mur, bersih dari dosa seperti baru dilahirkan, dibinakan mahligai di syurga,
dinaikkan kedudukannya seribu darjat di akhirat dan berbagai-bagai lagi.
Pengertian Solat Tarawih
Erti Tarawih ialah duduk
bersenang-senang atau beristirahat. Solat Tarawih bererti solat dengan rasa
senang dan kelapangan hati selepas solat, fardu Isyak. Biasanya duduk berehat
setelah mengerjakan empat rakaat solat Tarawih, sebelum di sambung semula.
Tujuan utamanya ialah untuk memneri peluang dan galakan kepada umat Islam
supaya suka mengisi waktu yang terluang di dalam bulan Ramadhan, dengan
ibadat-ibadat sunat seperti solat Tarawih, solat Witir dan membaca al-Quran,
berzikir dan lain-lain.
Qiamu Ramadhan
Solat Tarawih juga disebut dengan
Qiamu Ramadhan. Solat ini dikerjakan seelepas umat Islam mengerjakan solat
fardhu Isyak dan waktunya berkekalan sehingga akhir malam. Sebuah Rasulullah
s.a.w. yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah bermaksud bahawa sesiapa yang
mengerjakan Qiamu Ramadhan (solat Tarawih) dengan penuh keimanan dan ikhlas
mengharap ganjaran dari Allah, maka Allah mengampunkan segala dosanya yang
telah lalu.
Lailatul-Qadar
Satu lagi keistimewaan bulan Ramadhan ialah rahsia Allah s.w.t. menurunkan
malam Lailatul-Qadar dalam salah satu malam dalam bulan Ramadhan tersebut.
Di dalam surah al-Qadr, Allah s.w.t. menjanjikan bahawa mereka yang beramal
diberi ganjaran seperti beramal ibadat selama 1,000 bulan atau 83 tahun (maksud
al-Quran, surah al-Qadr).
Walau bagaimanapun, hanya Allah s.w.t. jua yang mengetahui, pada malam yang
manakah Lailatul-Qadar itu diturunkan. Kebanyakan para ulama menyatakan bahawa
Lailatul-Qadar itu diturunkan pada salah satu dari sepuluh malam yang terakhir
di bulan Ramadhan. Setengah ulama pula menyatakan bahawa Lailatul-Qadar itu
diturunkan pada salah satu malam yang ganjil dari sepuluh malam yang terakhir
bulan Ramadhan.
Istilah Qiamu Ramadhan juga dimaksudkan bahawa umat Islam sewajarnya
menghidupkan suasana malam di sepanjang bulan Ramadhan dengan mengerjakan
solat, iktikaf dalam masjid, berzikir dan seumpamanya. Sangatlah ruginya mereka
yang tidak mahu merebut peluang meraih pahala dengan beribadat solat Tarawih
setahun sekali ini. Sesungguhnya bulan Ramadhan adalah bulan yang sangat mulia
dan penuh keberkatan.
Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud: “Sesiapa yang mendirikan solat
(Tarawih) pada malam hari di bulan Ramadhan dengan penuh keimanan dan ikhlas,
maka Allah mengampunkan segala dosanya yang telah lalu.”
(Hadis riwayat Bukhari)
Hukum Solat Tarawih
Hukum
solat Tarawih ialah sunat muakkad (sunat yang sangat dituntut) bagi orang-orang
Islam lelaki dan perempuan. Oleh kerana itu keadaannya menjadi penyempurnaan
bagi ibadat puasa yang wajib dan memang banyak pahalanya. Mereka yang
mengerjakan ibadat puasa tetapi tidak mengerjakan solat sunat Tarawih pada
malamnya, seolah-olah menjadi tawar dan hambar; Berjaya tetapi tidak cemerlang.
Sesungguhnya sangatlah rugi mereka yang berpuasa Ramadhan tetapi tidak
melengkapkannya dengan solat sunat Tarawih.
Berjemaah lebih utama
Sebagaimana yang diamalkan sendiri oleh Rasulullah s.a.w., solat sunat Tarawih
boleh dikerjakan dengan bersendirian ataupun secara berjemaah di masjid atau
surau. Telah sepakat pendapat bahawa adalah lebih afdhal solat sunat Tarawih
itu dikerjakan dengan berjemaah.
Solat Tarawih 20 Rakaat
Umat Islam di Malaysia khasnya mengerjakan solat sunat Tarawih dua puluh rakaat
semenjak dahulu lagi. Ada sebahagian kecil shaja yang solat lapan rakaat.
Demikian juga umat Islam di negara-negara lain. Jika anda pergi ke Mekah dalam
bulan Ramadhan maka anda akan dapati solat sunat Tarawih di masjid AL-Haram
Mekah dan Masjid Nabawi di Madinah dikerjakan dua puluh rakaat.
Solat Sunat Witir
· Jika anda berniat hendak bangun tengah malam, mengerjakan solat sunat
Tahajjud, solat Hajat, solat Tasbih dan sebagainya, maka solat sunat Witir ini
bolehlah ditangguhkan, dan dilaksanakan yang terakhir sekali iaitu setelah
selesai dikerjakan semua solat-solat tersebut.
· Kebanyakan orang ramai yang mendirikan solat Tarawih berjemaah di masjid atau
surau, biasanya akan terus mengerjakan solat sunat Witir tiga rakaat (dua
salam) dengan berjemaah, sebaik sahaja selesai solat sunat Tarawih.
AMALAN DI MALAM BULAN RAMADHAN
Bulan
Ramadhan adalah bulan untuk memperbanyak dan melipatgandakan amal ibadat. Allah
s.w.t. telah menjanjikan untuk mengurniakan pahala dan kelebihan yang berlipat
ganda, termasuk juga balasan syurga. Di antara banyak amal ibadat yang boleh
dilakukan ialah iktikaf serta beribadat di dalam masjid, Qiamullail dan solat
sunat Tasbih, berzikir, bertahmid, membaca al-Quran dan sebagainya.
1. Iktikaf 10 Hari Terakhir Ramadhan
Terdapat
beberapa hadis Rasulullah s.a.w. yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim dari
Aisyah r.a. dan Ibnu Umar, bahawa Nabi s.a.w. telah beriktikaf di dalam sepuluh
hari terakhir bulan Ramadhan.
Rasulullah s.a.w. meluangkan masa yang lebih untuk beriktikaf di masjid dan
beamal ibadat, mendekatkan diri kepada Allah s.w.t., dengan lebih tenang, aman
dan khusyuk. Baginda memutuskan kesibukannya dengan dunia luar, lalu dengan
penuh khusyuk dan tawadhuk beriktikaf dan mendekatkan diri kepada Allah s.w.t.
Kaifiat Iktikaf
· Hendaklah suci daripada hadas kecil dan besar dan juga dari sebarang najis.
· Iktikaf hanya sah dilakukan di dalam masjid sahaja. Kaum wanita boleh iktikaf
di dalam rumah, di tempat yang dikhaskan. Jika bersuami hendaklah meminta izin
suami terlebih dahulu.
· Mereka yang sedang iktikaf hanya diharuskan keluar dari masjid untuk
menunaikan keperluan-keperluan yang pokok sahaja, seperti makan minum, membuang
air dan seumpamanya. Keluar dari masjid untuk bersetubuh dengan isteri tidak
dibenarkan.
Iktikaf di dalam masjid boleh dilakukan siang atau malam. Mereka yang
beriktikaf untuk menunggu Malam Lailatul-Qadar seharusnya beriktikaf pada malam
hari, selepas solat Tarawih dan Witir hingga menjelang subuh.
2. Kelebihan Malam Lailatul-Qadar
Sebagaimana
yang telah dijelaskan oleh Allah s.w.t. di dalam al-Quran surah al-Qadar, malam
Lailatul-Qadar itu mempunyai fadhilat dan kelebihan yang amat besar. Faedah dan
ganjarannya bagi mereka yang beriktikaf dan beribadai pada malam tersebut
adalah menyamai ibadat beriktikaf selama 1,000 bulan atau 83 tahun.
Rasulullah s.a.w. sangat menggalakkan supaya umat Islam berusaha mencari dan
beriktikaf di malam Lailatul-Qadar itu. Aisyah meriwayatkan bahawa Rasulullah
s.a.w. bersabda:
“Carilah malam Lailatul-Qadar pada bilangan yang ganjil di dalam tempoh sepuluh
hari terakhir bulan Ramadhan.”
(Hadis riwayat Bukhari, Muslim at-Tirmizi dan Ibnu Majah)
Sebuah hadis Rasulullah s.a.w. yang lain, yang diriwayatkan oleh Ibnu Abbas
menyatakan bahawa baginda bersabda yang bermaksud:
“Carilah malam Lailatul-Qadar di dalam sepuluh hari terakhir bulan Ramadhan;
pada malam yang ke 21, 23 dan 25.”
(Hadis riwayat Bukhari, Muslim, Abu Daud, an-Nasai, at-Tarmizi dan Imam Malik)
Imam-imam mazhab termasuk Imam Syafie masing-masing telah membuat kajian- ada
yang berpendapat malam Lailatul-Qadar itu berlaku pada malam 27 Ramadhan, 21
Ramadhan dan sebagainya, masing-masing dengan hujahnya. Bagaimanapun Allah jua
yang mengetahuinya.
Tanda-tanda
Malam Lailatul-Qadar
Hassan
al-Basri meriwayatkan bahawa tanda-tanda turunnya Malam Lailatul-Qadar,
diantaranya ialahsuasana alam pada malam itu tenang, damai dan tenteram, tidak
panas dan tidak pula terlalu dingin. Cahaya matahari keesokan harinya tidak
terik.
Dalam Sahi Muslim disebutkan bahawa pada Malam Lailatul-Qadar seramai 70,000
malaikat turrun dari Sidratul-Muntaha ke bumi. Mereka membawa rahmat Allah
memasuki rumah-rumah dan memberi salam kepada orang-orang Islam, kecuali rumah
orang yang ada anjing. Apabila matahari naik esoknya, malaikat-malaikat itu
naik semula ke langit dengan serentak. Sayap puluhan ribu malaikat itu
melindungi pancaran panas cahaya matahari, menyebabkan suasana di bumi dingin
dan tenang. Antara amalan yang boleh dilakukan pada malam Lailatul-Qadar ialah
Solat Sunat Lailatul-Qadar, zikir, tasbih, berdoa, beriktikaf dan sebagainya.